Wednesday, November 10, 2010

BUAH HATIKU KATA...

Mama kata aku seorang anak yang degil, keras hati, tak pernah dengar nasihat mama abah, berdikari tetapi anak yang boleh diharap untuk menjaga adik-adik. Ya! Aku mengaku bahawa aku sangat degil, keras hati serta selalu lawan cakap mama abah. Kekadang, kata-kata abah aku jadikan alat mainan. Nasihat abah aku terima dengan senyum sumbing. Kata-kata mama aku tidak pernah simpan di dalam hati walhal itu lah bekalan yang sangat aku perlukan ketika jauh daripada mereka.

Mama kata aku akan jadi insan yang kuat apabila ditimpa ujian. Tidak mudah menangis. Tidak mudah jatuh. Hakikatnya, aku anak yang manja lagi cengeng. Aku suka menangis tanpa sebab. Aku suka marah-marah tak tentu pasal. Kekadang, aku akan jatuhkan hukuman serta-merta kepada hal-hal yang tidak dapat aku kawal. Aku selalu kalah dalam mengawal emosi. Hinggakan ‘dia’ pernah mengatakan aku emo dan kebudak-budakkan. ‘dia’ kata aku emo pun aku menangis. Cengeng!

Abah kata aku anak perempuan yang garang, pemarah, dan suka mengawal adik-adik sebab itu adik-adik takut denganku. Sebab itu kakak-kakak ku tidak menyukai aku. Hahahahaa..aku bukan garang tetapi aku memang seorang yang pemarah. Aku sering mengawal keadaan mengikut kata hati. Tidak pernah mahu fikir tentang hati dan perasaan adik-adik. Sering meminta adik-adik membuat sesuatu untuk aku tanpa bertanya adakah boleh atau tidak.

Abang Jang kata dia akan bankrap jika aku pulang ke kampung. Hikhikhik..sibuk nak ikut ke mana dia pergi. Mahu dibelikan apa sahaja. Mahu menjadi insan yang paling dihargai di rumah walau tidak membuat apa-apa yang berharga. Aku mahu menjadi adik Abang Jang ku yang manja dan nakal tetapi aku memang sangat nakal.

Adik lelakiku kata aku banyak mulut. Aku suka bercakap perkara merapu apabila pulang ke rumah. Menjadikan dia salah seorang ‘hambarakyat’ ku itu sudah pasti. “Amat”, panggilan manjanya, “kau buat air sirap tadikan? Sedap lah. Apa kata kau pergi masak air lagi. Suruh adik tunggu. Pastu kau buat air sirap lagi tau.” Malas tetapi dia buatkan juga. Layankan juga kakaknya yang pemalas ini.

Adik kecilku kata aku senget. Aku suka kacau dia layan sms aweknya. Aku suka ketawa ketika dia dibuli adik-adikku yang lain. Aku suka menokok tambah ketika dia dibuli. Aku suka jadikan dia ‘hambarakyat’ yang setia.

“adik, amikkan aku air sirap yang amat buat tadi boleh?” antara ayat paling popular yang aku keluarkan untuk menjalankan pemerintahan kuku besiku. Aku suka!

Ayang, adik perempuan bongsuku, kata aku penyibuk. Setiap kali aku pulang, dia mesti tiada di rumah. Bekerja mencari wang saku. Aku pula dengan ke’sibuk’kan ku ini, bertanya, “kau kerja apa, Yang? Naper kau selalu balik lambat? Naper kau tak tolong mama kat uma before p kerja? Naper kau ader hp mahal? Naper kau tak suka bangun awal? Naper mama tak kejut kau tak bangun?”. Jawapan untuk semua soalan itu : “kau ni sibuk lar Noy!”

Muni, adik perempuanku yang sulung, kata aku pemalas. Betul ker? sebenarnya aku juga tidak pasti apa yang dia selalu kata kepada aku. Aku dan dia tidak terlalu rapat tetapi memandangkan kami lah kakak, jadi, kami lah pembuli yang sebenar di rumah. Aku sering kata bahawa masakan dia tidak sedap. Dia marah dan mencebik kepadaku. Dia kata lain kali jangan makan kalau dia masak tak sedap. Aku balas balik. “lain kali aku tak makan dah kalau kau yang masak!”

Hakikatnya, aku memang kuat makan. Ada aku kisah sedap atau tak? Yang penting aku tahu makanan itu bersih dan selamat dimakan.

Intan, seorang insan istimewa di dalam keluargaku. Dia tidak mendengar mahupun berkata-kata. Erm, kalau dia boleh berkata-kata, ayat yang pasti dia katakana kepada aku adalah : “naper kau suka ketuk pintu bilik air kalau aku kat dalam bilik air?” mungkin juga dengan nada yang tinggi atau jerkahan. Ada aku peduli? Tidak sekali-kali sebab itu lah yang selalu aku buat untuk menganggu gugat keamanan beliau.

Aku gembira jika pulang ke kampung. Jika demam, pasti sembuh. Jika kurus, pasti gemuk. Jika patah hati, pasti kembali berbunga. Jika gelisah, pasti tenteram. Jika marah, pasti reda. Walaupun aku tidak mampu kembali ke tarikh-tarikh tertentu yang aku mahu, aku pasti, sesuatu kejadian itu ada hikmahnya. Ketawa mereka, sering menjadi pengubat hati aku. Mereka sering buat hidup aku lebih indah dari semalam.

Mama, Abah,

Anak perempuan kalian ini sangat nakal di sini tetapi jangan bimbang. Anak perempuan kesayangan kalian ini akan berusaha sedaya mungkin untuk membahagiakan kalian. Malah akan berusaha menjadi seorang kakak yang baik kepada adik-adiknya. Satu hal yang tidak mungkin dia dapat ubah, kenakalannya kepada Abang Jang nya.

(nasib kau lah Jang dapat adik macam aku..:p)

No comments:

Post a Comment