DEEPAVALI yang lepas, aku pulang ke rumah JB untuk mengunjungi kedua orang tuaku di sana. Pelik! Mama dah tak cam aku. Abah juga begitu. Mereka tidak mengenali aku. Kata abah, mukaku dan adik perempuan bongsuku serupa. Aku rasa tidak.
Abangku berkata, dalam dunia ini ada 7 rupa yang serupa. Aku menjawab, adik beradik perempuan kau ada berapa, Jang? Dia geleng kepala melayan soalan aku. Mamaku ada 7 orang anak perempuan. Jika abah tidak dapat mengecam salah seorang daripada kami, bermakna sudah cukup 7 orang yang berwajah sama denganku. Firasatku.
Adik beradikku 12 orang semuanya. 5 orang lelaki dan 7 orang perempuan. Semuanya membesar hasil titik peluh mama dan abah. Makan makanan yang sama punca. Mandi dari salur paip yang sama. Berteduh di bawah bumbung yang sama. Dididik oleh 2 manusia yang sama.
Bagaimana perangai kami boleh berbeza? Masih menjadi tanda tanya yang tiada jawapan. Aku membesar dengan kasih sayang mama dan abah. Adik beradikku juga sama tetapi mengapa berlainan benar sikap dan sifat kami antara satu dengan yang lain.
Satu hal yang unik di dalam keluarga ini, kami tidak pernah merasa susah. Semasa membesar, tidak pernah kami dapat baju raya yang baru. Semuanya belas ihsan saudara mara. Gaji abah hanya cukup untuk menampung perbelanjaan sehari-hari kami semua tetapi tidak pernah kami meminta sedekah. Kami juga tidak pernah merungut untuk sesuatu yang tidak perlu.
Pernah mama menjual aiskrim Malaysia. Bertahun-tahun lamanya. Mama berpanas, berhujan di tepi sekolah agama itu semata-mata untuk menjual aiskrim itu. Hasilnya, mama jadikan modal pusingan dan membeli lauk untuk kami makan bersama-sama setiap hari.
Setiap malam minggu, aku pastinya akan menemani mama bersama-sama beberapa orang adik-adikku serta abang akan ke pasar malam. Memungut sayur-sayuran yang dibuang oleh peniaga pasar malam. Bawang, buah-buahan, ayam goreng, malah kadang kadang kalanya makanan siap masak seperti nasi juga mee. Malu? Tidak sekali-kali.
Hidup kami terasa mewah dengan apa yang kami ada. Walaupun kami kekurangan wang ringgit, kami tidak pernah kekurangan makanan. Tidak pernah aku berlapar ketika tidur. Segalanya mama sediakan. Kadang kala kami memetik sayur-sayuran hutan, berjalan kaki berbatu-batu jauhnya untuk rezeki yang tidak datang bergolek itu, kami gembira dengan hidup kami.
Aku juga pernah menjaja kuih dari sebuah rumah ke sebuah rumah yang lain. Bersama-sama beberapa orang adik-adikku, kami tidak kesah apa masyarakat kata. Kami cari rezeki. Kami cari wang belanja sekolah. Kuih hasil air tangan mama, bagiku sangat sedap. Tidak pernah cukup tangan mama memasak, tidak cukup perut juga kami makan. Kami adik beradik memang gelojoh.
Mereka kata KFC dan McDonalds sedap. Kami kata ayam goreng yang mama goreng itulah yang paling sedap. Bukan aku tidak pernah makan di KFC atau McDonalds, malah hampir semua restoran makanan segera sudah aku jejaki. Takkan sama dengan ayam goreng yang mama goreng itu. Ramuan yang mudah. Dicampur bersama kasih sayang dan keikhlasan, semuanya terasa enak terasa kenyang walaupun tidak cukup.
Abah seorang yang pemarah, garang, panas baran tetapi aku sayang abah. Kadang kala aku lihat abah itu hipokrit tetapi aku tahu abah sayangkan aku. Walaupun sering mengungkit setiap pemberiannya kepada kami adik beradik, abah masih gigih mencari rezeki untuk membesarkan 12 orang anaknya yang nakal ini. Kini abah sudah bersara dan hanya bergantung hidup dengan wang saraannya.
Abah dan mama menternak ayam dan itik untuk dijual. Asalnya hanya untuk suka-suka, kini ternakan abah dan mama menjadi. Kedua-dua adik lelaki bongsuku sering menjadi ‘hambarakyat’ di rumah tetapi hampir semua hasil jualan ternakan mama dan abah adalah untuk menampung perbelanjaan sekolah mereka. Memang patut pun mereka menjadi ‘hambarakyat’ mama dan abah.
Walau aku jauh dari pandangan mama dan abah, aku tahu bahawa aku sangat sayangkan mama dan abah. Hidup sendiri. Bekerja sendiri untuk belanja sendiri. Tidak mengapa. Tidak menyusahkan. Satu hal yang aku tidak mampu menafikan, aku adalah anak mama dan abah.
No comments:
Post a Comment